B. Sathianathan, ketua jurulatih Selangor berpendapat pemain-pemainnya telah memberikan yang terbaik di atas padang meskipun tanpa kehadiran beberapa tonggak utama seperti Halim Saari, Syazwan Zainon, Syahmi Safari dan beberapa lagi.

Selangor tewas 2-3 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi malam tadi di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin. Selangor dapat merapatkan jurang jaringan hasil sepakan penalti di akhir-akhir perlawanan minit ke 89. Namun ia sudah lambat dan kesuntukan masa untuk mengikat JDT.

Selangor cuba mengejar untuk menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 2-3. Malah, persembahan yang ditampilkan oleh anak buahnya layak diberikan pujian lebih-lebih lagi mereka terpaksa bermain dengan sepuluh orang.

Baca juga : Sathianathan Berang Dimaki Penyokong Sendiri

“Tiada pasukan yang mampu mengalahkan JDT setakat ini, dan saya menghormati mereka. Mereka bermain dengan baik” begitulah ungkapan daripada ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan selepas menyaksikan pasukannya terpaksa akur dengan keputusan tewas 3-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi ke-17 Liga Super Malaysia, semalam.

JDT di ketika ini berada di puncak liga dalam carta Liga Super Malaysia dengan kutipan 43 mata hasil daripada 13 kemenangan dan 4 seri. JDT kekal tanpa sebarang kekalahan dicatatkan. Pasukan yang dibimbing oleh Luciano Figueroa ini hanya tinggal  liga 5 perlawanan sahaja lagi untuk menamatkan saingan musim ini.

Menjawab pertanyaan mengenai perlawanan semalam, walaupun pasukannya mendapat beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol, namun peluang yang terhidang itu tidak digunakan sepenuhnya oleh Selangor dan mengakibatkan mereka berputih mata untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

“Kalau kita nak main dengan pasukan macam Johor, kalau kita tak ambil peluang yang terhidang, ia akan jadi masalah kepada kita.

“Kita ada mendapat peluang awal, menerusi serangan daripada Endrick yang melakukan satu lawan satu bersama penjaga gol lawan (Farizal Marlias). Kemudiannya, kita main di belakang.

“Lepas itu kawal kembali permainan, dan kita dapat satu lagi peluang, tapi kita tak mahu ambil peluang dengan pasukan seperti Johor, susahlah.

“Kalau kita mendahului, cara kita main mungkin berbeza. Tetapi, kita datang ke sini untuk cari sekurang-kurangnya satu mata. Jadi kita kena keluar (untuk menyerang). Lepas kita bolos dua gol, kita dapat (gol) sepakan percuma.

“Separuh masa kedua, kita dapat kad merah, lagi parah. Dan kualiti Johor kita memang nampaklah. Sangat berbeza. Ini pengajaran untuk saya dan pasukan.” ulasnya dalam sidang media, semalam.

“Dan saya juga menghormati pemain-pemain (Selangor) kerana cuba bangkit daripada ketinggalan tiga gol. Jadi, banyak yang kena kita buat ‘homework’ sebelum menentang Pahang.” tambahnya.

Sementara itu B. Sathianathan kesal dengan tindakan segelintir penyokong pasukan Selangor yang nengeluarkan kata kesat dan keji terhadap beliau sebaik sahaja masuk ke bilik persalinan selepas tamat perlawanan.

Artikel Asal : FoxSportsAsia

Foto : The Photoshooterz