Sela¬ngor turun ke Larkin malam ini dengan misi melebur rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Super musim ini, meskipun sedar pertemuan menentang juara lima kali berturut-turut itu ibarat ‘mendaki Gunung Everest’.

Kejayaan pasukan ‘adik’ mereka, PKNS FC mengejutkan Harimau Selatan 1-0 pada pu¬singan ketiga Piala FA, 17 April lalu menjadi motivasi buat anak-anak buah B. Sathianathan untuk merobek Harimau Selatan.

Bagaimanapun, Sathianathan tidak menafikan, sekarang bukan masa terbaik untuk Red Giants berdepan pasukan terkuat Liga Malaysia (Liga M) itu kerana mereka bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos tanpa lima tonggak utama.

“Selepas naik ke tangga ketiga liga (mengalahkan Kuala Lumpur 2-1, Sabtu lalu), ia memberi motivasi kepada pasukan untuk kembali pada landasan yang betul setelah keciciran mata ketika bertemu PKNP FC dan Terengganu sebelum ini.

“Kita menentang JDT tanpa lima tonggak utama iaitu Syahmi (Safari), Halim (Saari), Syazwan (Zainon), Azreen (Zulkafali) dan Michal Nguyen tetapi saya percaya pemain gantian mampu menjalankan tugas dengan baik.

“Bertemu JDT ketika mereka baru seri dengan PKNP FC (1-1, Jumaat lalu) juga bukan masa sesuai kerana keputusan itu pasti beri tamparan kepada mereka.

“Cabaran menentang JDT ibarat mendaki Gunung Everest,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia.

Bekas jurulatih kebangsaan itu juga mengakui, peluang semua pasukan untuk mengatasi JDT dalam perebutan gelaran Liga Super musim ini boleh dianggap mustahil.

Sumber : Utusan Malaysia

Foto : The Photoshooterz