Perubahan dan rombakan sudah pasti akan dilakukan oleh Benjamin Mora dan Luciano Figueroa terhadap posisi dan barisan kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menerima kedatangan Selangor malam ini.

Rombakan di bahagian tengah akan berlaku setelah Afiq Fazail tidak dapat diturunkan selepas digantung satu perlawanan kerana menerima kad merah ketika perlawanan menentang PKNP FC Jumaat lalu.

JDT seri 1-1 di Stadium Manjung dan ia merupakan satu keputusan yang tidak diingini apabila JDT berhasrat menjarakkan lagi kedudukan mata dengan pencabar terdekat Pahang di persada liga.

“Keputusan seri dengan PKNP FC bukanlah yang kami inginkan dan kami tidak beraksi dengan baik pada perlawanan itu dan mahu melupakan perkara yang lepas, sebaliknya kami kini memberi tumpuan untuk aksi menentang Selangor,” kata Figueroa.

“Selangor adalah pasukan yang hebat dan kami harus berwaspada dengan corak permainan lawan. Mereka akan turun untuk cuba mengecewakan kami namun kami bersedia untuk beri tentangan pada perlawanan itu nanti.”

Figueroa mengakui kehebatan pasukan Selangor dan sudah tentu akan merencanakan taktikal yang terbaik bagi menghadapi ‘Red Giants’ dan seterusnya menghampirkan diri menuju kejuaran kali keenam Liga Super Malaysia.

Walaubagaimana pun situasi itu tidak merisaukan Figueroa kerana JDT mempunyai barisan pemain yang mempunyai kualiti yang mampu mengisi kekosongan Afiq seperti Syamer Kutty Abba. Tidak kira siapa yang akan mengisi posisi tersebut, pemain itu akan bergandingan dengan Hariss Harun dan Leandro Velazquez dalam formasi 4-3-3.

Ketika ini JDT kekal menduduki tangga teratas Liga Super 2019 dengan kutipan 40 mata dan mengikut kiraan atas kertas, JDT hanya memerlukan 3 kemenangan sahaja lagi untuk menjuarai Liga Super musim ini.

Baca juga : Afiq Pemain Tengah Terbaik Negara

Foto : asiana.my