Kelantan mampu berpuas hati apabila berjaya meraih satu mata selepas seri 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim (JDT II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang tadi.

Perlawanan berlangsung dalam keadaan hujan dan becak air bertakung yang menyukarkan kedua-dua pasukan mempamerkan permainan mereka sebenar. 

Skuad pelawat di bawah bimbingan Ervin Boban mendahului tuan rumah seawal minit keenam menerusi sepakan penalti yang disempurnakan bekas pemain Kelantan, Mohammed Ghaddar.

JDT II menerima penalti yang diberikan pengadil selepas Ramadhan Saifullah, penain JDT II dikasari pemain pertahanan tuan rumah dalam kotak penalti.

Bagimana pun, Kelantan memperoleh gol penyamaan pada minit ke-57 menerusi Azwan Aripin hasil rembatan deras dari jarak 30 meter yang menewaskan Haziq Nadzli.

Dengan keputusan itu, JDT II kekal di puncak Liga Perdana dengan 29 mata, satu mata di depan pasukan tangga kedua Sabah. Kelantan pula di tangga kedua tercorot dengan 10 mata. Sabah masih kurang dua perlawanan berbanding JDT II. 

Di tangga ketiga adalah UiTM yang mengutip 27 mata daripada 15 perlawanan.  

Perlawanan seterusnya bagi JDT II adalah menentang UiTM pda 25 Jun ini di Stadium MPPG.

Sumber : Harian Metro

Foto : Malaysia Football League