Red Giants di bawah bimbingan B. Sathianathan akan bertembung dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus Rabu ini.

Satu pertembungan yang menarik apabila Selangor merupakan pasukan terakhir yang berjaya mencuri mata di Larkin. Ia hasil daripada keputusan seri 0-0 pada Februari 2017 di Larkin. Sejak itu, tiada pasukan yang berjaya untuk membawa pulang walau sekurang-kurangnya satu mata dari sana.

Melalui temubual wartawan Fox Sports Asia dengan B. Sathianathan, beliau mengakui keampuhan JDT yang ibarat bermain dengan semangat luar biasa di hadapan penyokong sendiri, tetapi dia tidak mahu pemainnya turun dengan mentaliti tidak boleh menang di Larkin.

“Kita tewas sebelum bermain jika kita fikir tentang kekebalan Larkin, tentang susahnya nak dapat mata dari sana. Kita tahu mereka kuat, jadi apa yang perlu kita buat? Sifirnya adalah mudah, jangan takut (untuk pegang bola), jangan gentar, jangan hilang keyakinan diri.

“Lawan JDT, kita tidak boleh bermain defensif atau ‘parking bus’, ia akan makan diri. Adalah penting untuk kita bermain menyerang, manfaatkan penguasaan bola, bermain pada sepenuh potensi.

“Kurangkan kesilapan budak sekolah, tidak mustahil kita boleh dapatkan keputusan positif. Kita sedang mengharungi prestasi baik, duduk nombor tiga walaupun orang kata kita tak cukup bagus, dan kita mahu meneruskan prestasi ini, capai kedudukan terbaik di akhir musim,” kata Sathianathan.

JDT di bawah bimbingan Benjamin Mora ketika ini memegang rekod gah tanpa tewas dalam 35 perlawanan terakhir Liga Super sejak Februari 2018. Dalam masa yang sama, mereka menang kesemua 27 perlawanan terakhir Liga Super di laman sendiri.

Kemenangan buat kedua-dua pasukan itu amat diperlukan. Kemenangan buat Selangor mampu menyaksikan mereka mengukuhkan peluang memintas Pahang dan seterusnya mahu menamatkan musim di tempat kedua. Tempat kedua iyu turut menjadi buruan Kedah, Melaka, Perak dan Terengganu FC.

Manakala kemenangan buat JDT pula akan dapat melebarkan rekod kemenangan mereka disamping menghampirkan diri mendakap kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali keenam berturut-turut.

REKOD PERTEMUAN JDT DAN SELANGOR DALAM LIGA SUPER SEJAK 2013Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) telah bertemu…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Monday, June 17, 2019
Rekod pertemuan JDT – Selangor

JDT kini memiliki kelebihan 13 mata di tangga teratas mengatasi Pahang dan secara matematik tiga sahaja lagi kemenangan diperlukan JDT daripada baki enam aksi untuk mengesahkan kejuaraan.

Selangor di bawah bimbingan B.Sathianathan hanya tewas hanya sekali dalam 11 perlawanan terakhir liga sudah tentu mahu mengulangi pencapaian tersebut sekaligus menoktahkan rekod sempurna JDT di Larkin sejak dua tahun lalu dan melengahkan pesta bunga api mereka ?

Isunya, pasukan manakah yang mampu memenangi perlawanan Rabu ini ?

Artikel penuh di : Fox Sports Asia