Selangor mungkin mengikut jejak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) dengan menjadikan pasukan di bawah naungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebagai ‘Feeder Club’ pada masa akan datang. 

Mereka dijangka akan berwajah baharu apabila menjalani transformasi selepas bakal menggunakan model yang lebih baik bermula saingan musim hadapan.

Begitulah tegas Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan mengesahkan penstrukturan dan penyusunan semula bola sepak di negeri itu akan dilaksanakan memandangkan ketika ini, ada tiga entiti besar membabitkan bola sepak beroperasi di negeri itu – Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), PKNS FC dan juga Selangor United.

Menurut beliau lagi, penyelarasan akan membabitkan peringkat akar umbi sehinggalah pasukan profesional dengan beberapa formula akan diterokai termasuklah seperti yang sudah digunakan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC).

“Saya lihat kalau kita tidak berjaya selaraskan pasukan ini baik daripada akademi sehinggalah pasukan Liga Super, kita mungkin sedikit sebanyak membazirkan peruntukan dan kos sesama kita,” kata Amirudin.

“Sebagai contoh, kerajaan negeri menyediakan RM12 juta untuk bola sepak Selangor pada tahun ini sementara PKNS FC memperuntukkan RM12 juta. Kalau kita dapat gabungkan dana ini dengan tambahan daripada anak syarikat, kita sebenarnya ada peruntukan yang setanding dengan pasukan teratas seperti JDT dan Pahang.

“Kita akan muktamadkan pelarasan ini pada Julai nanti. Kita akan memiliki satu ‘blue print’ bola sepak Selangor yang akan merangkumi setiap sudut bermula akademi sehinggalah veteran untuk Piala Sultan Selangor.”

Apabila ditanya sama ada pelarasan terbabit akan menukar status PKNS FC kepada kelab pembangunan, Amirudin menjelaskan banyak formula yang akan dipertimbangkan namun usaha itu sudah pasti memerlukan keterbukaan daripada semua pihak yang terbabit.

“Kita sudah membincangkan perkara ini sejak tahun lepas dan masing masing nampak setuju dengan idea pelarasan ini. Mungkin PKNS FC atau Selangor United (jadi kelab pembangunan).

“Ada pelbagai faktor dipertimbangkan antaranya kekuatan pasukan, tarikan penyokong, sejarah dan program pembangunan. Kita akan lihat secara keseluruhan dan perlu dibincangkan dengan ketiga tiga pihak.

“Tidak hanya formula yang diguna pakai JDT dan TFC, mungkin ada formula lain yang mana ia dapat memberi jaminan kepada kelangsungan pasukan dan hala tuju pemain sekiranya kita meleburkan sesuatu pasukan menjadi satu entiti,” katanya.

Sumber : Berita Harian