Pengendali Kelantan Yusri Che Lah mahu barisan pemainnya berwaspada dengan ‘kerakusan’ jentera serangan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam esok.
Yusri berkata, jentera serangan lawan dilihat cukup ampuh selepas meledakkan 25 jaringan sepanjang saingan Liga Perdana setakat ini.
Menurutnya, kejayaan lawan membelasah Terengganu FC II (TFC II) 5-0 di Pasir Gudang, Sabtu lalu amat merisaukan The Red Warriors (TRW).
“Kita akan menghadapi satu lagi pasukan yang sedang berjuang merebut kejuaraan liga dan memiliki jumlah jaringan yang banyak.
“Saya anggap tugas yang sukar kerana pemain JDT II bukan pemain muda, bukan pemain baru tetapi mereka adalah kelompok pemain yang sinonim dengan Liga Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.
Yusri memberitahu, dia mahu barisan pemain tidak terlalu menghormati kekuatan lawan.
Katanya, walaupun lawan memiliki ramuan ampuh namun mereka perlu terus kekal fokus sepanjang aksi itu.
“Kita perlu dapatkan mata untuk mencari kedudukan terbaik dan keluar daripada zon penyingkiran,” ujarnya.
Yusri juga mahukan benteng pertahanan yang diketuai kapten, Farisham Ismail merantai kelibat bekas penggempur berbisa TRW Mohamad Ghaddar.
Katanya, Ghaddar pastinya mahu ‘sesuatu’ di Kota Bharu nanti.
Sumber : Utusan Malaysia