Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, penilaian sesebuah pasukan boleh dibuat berdasarkan reputasi dan jenama pasukan, fasiliti dan aset tetap pasukan, barisan pemain serta kekuatan penyokong terutama di media sosial.

Laporan dan hasil temubual berikut dipetik dari Harian Metro 16 Jun 2019.

Penilaian itu juga dilihat berdasarkan pasaran semasa yang sekarang ini turut digunapakai di Eropah.

Daripada anggaran nilai pasaran semasa kelab dan pasukan, Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul pasukan paling mahal di Liga-M dengan nilai sekitar RM250juta-RM300 juta yang dinilai melalui fasiliti moden yang dimiliki, himpunan pemain bintang dalam skuad itu serta bilangan pengikut melebihi 2 juta orang di media sosial.

“Nilai rendah kebanyakan pasukan disebabkan ketiadaan aset tetap seperti padang latihan dan stadium sendiri yang masih mengharapkan bantuan pihak tertentu selain ada yang menyewa kemudahan berkenaan.” kata Effendi.

“Banyak faktor menyebabkan nilai atau harga saham sesebuah pasukan ditentukan. Berdasarkan pemerhatian saya, pasukan elit seperti Selangor, Kedah, Perak, Pahang dan Terengganu dalam nilai RM50 juta ke RM100 juta kerana branding mereka yang kuat selain mempunyai ‘fan base’ yang kuat.

Effendi mengulas laporan eksklusif akhbar Harian Metro mengenai usaha FAM untuk memastikan semua pasukan dalam Liga-M mempunyai sebuah organisasi kelab yang berlesen bagi menjalankan aktiviti secara berasingan daripada Persatuan Bolasepak Negeri (FA) menjelang musim 2021.

“Perlu diketahui satu perkara, sekarang faktor media sosial turut dinilai dengan pelabur atau pemubeli akan melihat berapa ramai pengikut kelab di media sosial. Kalau ramai maka lagi mahal kelab terbabit.

“Bagi pasukan lain seperti Kuala Lumpur, PKNS FC, Sarawak dan lain-lain bawah RM20 juta, namun JDT contoh kelab terbaik dengan nilai pasaran cukup mahal di Liga-M hingga mencecah RM300 juta.

“Jadi, secara keseluruhan saya beranggapan pasukan liga tempatan mampu dimiliki oleh jutawan di negara ini atau jutawan luar sekaligus membantu FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) menswastakan pasukan sebagai kelab persendirian,” katanya kepada Arena Metro, kelmarin.

Effendi adalah seorang  yang berpengalaman luas selaku ejen pemain dan pakar bidang komersial pasukan.

“Selain kaedah pemilikan tunggal, penswastaan pasukan juga boleh dilakukan dengan kaedah kedua iaitu pemilikannya dikongsi bersama penyokong.”

“Di EPL (Liga Perdana Inggeris) memang majoriti kelab dimiliki oleh orang kaya, namun di LaLiga pula berbeza kerana di Sepanyol pemilik kelab adalah penyokong.

“Jika tidak ada VVIP yang sanggup mengendalikan pasukan liga tempatan, mungkin FA boleh buat kaedah seperti Barcelona dan segala untung rugi akan dirasai kedua-dua pihak,” katanya.

“Misalnya Barcelona, penyokong turut mempunyai saham kelab dan apa jua keputusan akan dibuat secara bersama dengan pemegang saham terbesar dan penyokong.

Sumber : Harian Metro