Pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebentar tadi melalui dalam terbaharu melalui laman rasmi facebook Johor Southern Tigers telah mengumumkan kesebelasan utama dalam pasukan JDT TMJ dan JDT Rest of the World.
Seperti yang telah dimaklumkan oleh pengurusan JDT pada 06 Jun 2019 minggu lepas, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor akan membawa masuk bekas pemain-pemain bola sepak terkemuka dari seluruh dunia termasuk Ronaldo, Luis Figo, Roberto Carlos, Claudio Caniggia, Marco Materazzi dan Robert Pires untuk beraksi dalam Perlawanan Amal ‘All Star’ antara pilihan JDT dan ‘Rest of the World XI’ pada 30 Jun 2019.
Pengurusan JDT telah mengumumkan pemain yang akan membarisi kedua-dua pasukan tersebut. Antara nama-nama pemain yang akan beraksi bersama DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor adalah Ronaldo, Claudio Caniggia, Robert Pires, Edgar Davids, Rivaldo, Marco Materazzi, Gianluca Zambrotta, Bebeto, Esteban Cambiasso, Claude Makalele, Florent Malouda dan ramai lagi.
Barisan JDT TMJ : Farizal Marlias, Corbin-Ong, Mauricio, Materazzi, Zambrotta, Makelele, DYAM TMJ, Cambiasso, Malouda, Ronaldo, Pires.
Barisan JDT Rest of the World : Izham Tarmizi, Syazwan Andik, Marquez, Aidil Zafuan, S. Kunanlan, Edgars David, Rivaldo, Martin Prest, Bebeto, Saha, Caniggia.
Di samping itu, lagenda bola sepak juga akan mengadakan sesi ‘coaching clinic’ serta sesi autograph dan bergambar bersama mereka pada 1 Julai 2019.
Semua hasil kutipan Perlawanan Amal ‘All Star’ itu akan disumbangkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Women’s Aid Organisation.
Para peminat dan penyokong turut dijemput beramai-ramai hadir menyaksikan perlawanan tersebut yang julung-julung kali diadakan ini di Stadium Larkin pada 30 Jun 2019 ini.
Maklumat lanjut termasuk penjualan tiket akan diumumkan dalam laman sosial rasmi JOHOR Southern Tigers.