Syafiq Ahmad segera pulang ke Johor sejurus selepas disahkan terlepas perlawanan playoff kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste, Selasa ini.
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak menunggu lama untuk mendapatkan sentuhan istimewa pakar perubatan juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City, Juan Manuel Boffa yang kini berada di Johor Bahru.
Menurut Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers, Boffa yang merupakan konsultan City berada di Johor untuk memberi pandangan dan nasihat mengenai Pusat Perubatan JDT yang dalam perancangan untuk dibina.
Boffa yang juga pakar sains sukan dan pendidikan jasmani serta pakar dalam traumatologi bola sepak telah memberi taklimat kepada ahli fisioterapi Harimau Selatan mengenai penggunaan beberapa peralatan perubatan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam.
Kehadiran Boffa di Johor juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh Syafiq untuk mendapatkan pandangan serta rawatan selepas mengalami kecederaan lutut ketika beraksi buat Harimau Malaya dalam perlawanan pertama menentang Timor Leste, Jumaat lalu.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe hari ini mengesahkan Syafiq mengalami kecederaan lutut kiri yang memerlukannya berehat sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu.
Sumber : Utusan Malaysia