Johor Darul Ta’zim (JDT) benar-benar serious dalam membantu menaikkan prestasi dan kecemerlangan pasukan Harimau Malaya. Daripada senarai 26 pemain asal yang dipanggil untuk latihan pusat sebagai persiapan untuk play-off kelayakan Piala Dunia 2022, 9 pemain adalah terdiri dari pemain JDT.
Begitu juga dengan kesungguhan para pemain JDT yang terpilih menunjukkan prestasi yang memuaskan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe. Tiada seorang pemain JDT yang disisihkan selepas Tan Cheng Hoe mengumumkan pengguguran 3 pemain untuk menjadikan skuad 23 pemain skuad negara.
Farizal Marlias, Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Dominic Tan (JDT II) , Syazwan Andik (JDT II), Syafiq Ahmad, Corbin Ong dan Adam Nor Azlin semua dikekalkan dan mereka adalah merupakan tonggak pasukan Harimau Malaya.
Lebih dari itu, Farizal Marlias turut dipilih ketua pasukan bagi menggalas tanggungjawab mengemudi pasukan negara untuk ke pusingan seterusnya.
Malaysia akan menghadapi play-off Kelayakan Piala Dunia 2022 bertemu Timor Leste pada malam ini, Jumaat, 07 Jun 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil selaku tuan rumah.
Untuk perlawanan timbal balik juga turut dimainkan di tempat yang sama di mana Timor Leste mengambil giliran selaku tuan rumah pula apabila mereka tidak mendapat kelulusan bermain di tempat mereka oleh AFC.
Dalam perlawanan persahabatan sebelum ini, Malaysia berjaya menundukkan Nepal 2-0 dan ia dijadikan sebagai tonik untuk perlawanan dan ujian sebenar malam ini.
Dalam perlawanan persahabatan itu, pemain JDT yang diturunkan dalam kesebelasan utama negra adalah Farizal Marlias, Safawi Rasid, Adam Nor Azlin, Syafiq Ahmad dan Corbin Ong. Manakala Akhyar Rashid, Syamer Kutty, Akhyar Rashid dan Dominic Tan pula dimasukkan sebagai gantian di separuh masa kedua.
Kecemerlangan pemain ketika di JDT amat ditagih untuk membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih baik. Sebagai pendahulu Liga Super dan baru sahaja bersaing dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) memberi kelebihan kepada perancangan Tan Cheng Hoe pada perlawanan malam ini.
Beberapa pemain JDT turut mendapat perhatian wartawan sukan tempatan lebih-lebih lagi terhadap Farizal Marlias, Corbin Ong dan Safawi Rasid.
Berikut dipetik antara kata-kata mereka menjawab pertanyaan wartawan menjelang pertemuan malam ini.
Safawi Rasid : “Aksi Kelayakan Piala Dunia Qatar 2020 dan Piala Asia 2023 lebih penting dan kami semua mahu kemenangan pertama bertemu Timor Leste ini. Dari segi mental dan fizikal, kami sudah bersedia, lebih-lebih lagi selepas kemenangan aksi persahabatan bertemu Nepal pada Ahad lalu.”

Farizal Marlias : “Kekalkan disiplin dalam soal pemakanan. Demi negara, ayuh kita berkorban dan tinggalkan keluarga seketika. Bagi saya, semua pemain pastinya mahukan kemenangan serta mahukan Malaysia layak, begitu juga saya.”
Corbin Ong : “Pasukan bermain dengan baik apabila mencipta banyak peluang, cuma kami tidak dapat menterjemahkannya ke dalam bentuk gol. Jurulatih ada memberitahu supaya mengekalkan penguasaan bola dan kerjasama dalam pasukan.”

Adam Nor Azlin : “Campuran pemain senior dan junior dalam pasukan membantu banyak. Suasana adalah harmoni walaupun semua sibuk bermain … itu persaingan yang sihat.”
Akhyar Rashid : “Saya merasakan ia tidak menjadi masalah besar untuk saya beraksi di posisi berkenaan jika pasukan kekurangan pemain penyerang dan kami boleh berlatih untuk mencari lebih keserasian sebelum berdepan aksi sebenar.”
Semoga tidak kira siapa pemain JDT yang akan turunkan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya malam ini dapat memberi persembahan terbaik dan seterusnya mencipta kemenangan terhadap Timor Leste.
Kredit Foto : The Photoshooterz