Sambutan Hari Raya Aidilfitri dimeriahkan dengan kemenangan besar skuad Harimau Malaya 7-1 ke atas Timor Leste dalam aksi playoff pertama kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, sebentar tadi.

Penampilan kali pertama Corbin Ong nyata memberi impak awal buat skuad negara apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 apabila mudah menanduk hantaran lintang Safawi Rasid.

Jaringan itu menyuntik semangat skuad negara untuk terus memburu gol dan peluang tersebut hadir apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Kasimov Sherzod selepas penyerang negara, Norsharul Idlan Talaha dijatuhkan pertahanan lawan, Gaspar Da Silva dalam kotak penalti pada minit ke-16.

Bagaimanapun, Safawi gagal menyudahkan sepakan penalti itu pada minit ke-17 apabila dinafikan penjaga gol Timor Leste, Fernandes Aderito Raul.

Pemain gantian, Shahrel Fitri Md. Fauzi yang masuk menggantikan Syafiq Ahmad menggandakan jaringan buat negara pada minit ke-23 apabila mudah menampan bola hantaran lintang Matthew Davies.

Penyerang berpengalaman negara, Norsharul atau lebih mesra dengan panggilan Mat Yo turut tidak mahu melepaskan peluang mencetak nama sebagai penjaring apabila rembatannya dalam kotak penalti pada minit ke-42 untuk gol ketiga tuan rumah.

Pesta gol negara diteruskan menerusi rembatan Safawi dalam kotak penalti pada akhir babak pertama untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 4-0 sebelum memasuki waktu rehat.

Bersambung babak kedua, skuad negara bermula agak perlahan sehingga membenarkan pasukan Timor Leste memperolehi gol pertama mereka pada minit ke-52 hasil jaringan kapten, Joao Da Silva.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad negara kembali memperkemaskan corak permainan dan hasilnya mereka berjaya meraih gol kelima menerusi rembatan kencang Safawi pada minit ke-58 untuk gol kedua peribadinya.

Hanya dua minit dimasukkan menggantikan Mat Yo, Faiz Nasir tidak menunggu lama untuk mencetak nama sebagai penjaring apabila sepakan volinya pada minit ke-78 berjaya menewaskan Aderito buat kali keenam.

Penyerang muda negara, Akhyar Rasid melengkap pesta gol negara dua minit sebelum babak kedua berakhir.

Kemenangan besar itu menyaksikan Malaysia berada di landasan terbaik untuk melangkah ke peringkat seterusnya walaupun bakal bertemu sekali lagi dengan Timor Leste pada 11 Jun di venue sama.

Sumber : Utusan Malaysia