Harimau Malaya sudah pastinya merasakan perayaan pada bulan Syawal. Tahniah kepada skuad kebangsaan.
Malaysia memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dengan langkah kanan apabila mereka meledak gol terhadap Timor Leste 7-1 dalam perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Pada babak pertama, mereka menjaringkan empat gol menerusi La’Vere Corbin Ong (11’), Shahrel Fikri Md Fauzi (21’), Norshahrul Idlan Talaha (42’) dan Safawi Rasid (45’).
Gol jaringan Corbin adalah istimewa kerana ia adalah gol pertama beliau untuk Malaysia dalam pertandingan kompetitif pertama bersama Malaysia. Bek kiri Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat manfaat dari hantaran lintang dari Safawi, ketika dia menanduk bola melewati penjaga gawang Timor Leste, Fernandes Aderito.
Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh melakukan asakan di sayap kanan dan kerja keras mereka berhasil apabila Matt Davies dari kanan diselesaikan oleh Shahrel. Shahrel dimasukkan pada minit ke-12 menggantikan Syafiq Ahmad, yang mengalami kecederaan.
Gol ketiga terhasil dari permainan cantik antara Safawi dan Norshahrul di mana hantaran cantik pemain sayap JDT itu diselesaikan oleh penyerang veteran Norshahrul.
Sumareh, yang digantung satu perlawanan persahabatan menentang Nepal pada 2 Jun, membuktikan mengapa dia penting dalam skuad negara. Lorongan cantik Sumareh disudahi okeh Safawi yang berusia 21 tahun itu dengan twndangan kencang menewaskan penjaga gol Timor Leste.
Malaysia sepatutnya dapat menambah lagi jaringan di separuh masa pertama apabila 2 kali Shahrel terlepas peluang keemasan pada minit ke 19 dan 30. Ditanbah pula sepakan penalti Safawi yang tidak berjaya menghasilkan gol.
Pada babak kedua, Malaysia terperangkap apabila pemain Timor Leste, Joao Pedro berjaya melepaskan diri pertahanan tengah negara Shahrul Saad dan Adam Nor Azlin dan merembat melepasi Farizal Marlias pada minit ke-51.
Selepas tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia bangkit apabila mereka mendapat gol kelima pada minit ke-58 ketika Sumareh melepasi dua pemain Timor Leste dan melepaskan lorongan sempurna untuk Safawi dan seterusnya tidak disia-siakan oleh Safawi dengan rembatan padu ke gawang gol lawan.
Faiz Nasir, yang dibawa pada minit ke-75 berjaya menambah jaringan dengan boli yang cantik untuk Malaysia mendahului 6-1.
Akhyar Rashid yang beraksi cemerlang menutup jaringan Malaysia pada minit ke 89.