Patrick Reichelt sekarang ini sedang bermain untuk pasukan Melaka United. Baca cerita dari beliau yang merasa beruntung bermain dalam Liga Malaysia melalui laporan berita dari FoxSportsMalaysia
Patrick Reichelt anggap dirinya bertuah bermain di Liga Malaysia
Selepas lima bulan beraksi bersama Melaka United, Patrick Reichelt, pemain kebangsaan Filipina, merasakan dirinya cukup bertuah bermain di Liga Malaysia.
Patrick Reichelt, 30 tahun, berkata, cara Malaysian Football League (MFL) menguruskan Liga Malaysia jelas menyerlahkan potensi yang ada untuk menjadi liga terbaik di rantau ini.
Baca juga : Kelab dari Jepun dan Korea berminat dengan Safawi
“Secara jujurnya, saya tidak pernah mengikuti bola sepak Malaysia sebelum ini cuma mengetahui mengenai kelab JDT (Johor Darul Ta’zim) kerana saya pernah bertemu mereka ketika mewakili Ceres-Negros dalam saingan Piala AFC.
“Tapi apabila saya bermain di sini, saya terkejut dengan cara liga ini diuruskan dgn baik, dengan penyiaran perlawanan secara langsung menerusi iflix di mana saya boleh melihat ulangan perlawanan menerusi pelbagai sudut, ini bukan sahaja bagus untuk penyokong malah kepada pemain juga,” kata Patrick Reichelt.
Beliau pernah beraksi dengan kelab Thailand Singhtarua FC yang telah bertukar nama kepada Port FC pada 2013-2014. Reichelt kini dipanggil bagi tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Filipina.
Patrick yang dilahirkan di Berlin Jerman itu, berpendapat ketika ini, Liga Thailand adalah yang terbaik di Asia Tenggara namun percaya jurang antara Liga Thailand dan Liga Malaysia tidak begitu jauh kualiti pengurusannya.
“Bukan mahu merendahkan Liga Malaysia, Indonesia, Filipina tapi kita semua sedar bahawa Thailand berada di tahap lebih baik tapi saya percaya jika dibandingkan dengan Malaysia jurang itu tidak jauh.
“Malaysia ada potensi untuk menjadi yang terbaik di rantau ini. Kamu mempunyai penyokong yang cukup hebat, dan saya baru beberapa bulan di sini tapi sudah bermain banyak stadium dan saya terkejut, stadium di Malaysia adalah bagus. Mungkin masih ada kelemahan tapi jika semua pasukan meningkat, Liga Malaysia juga akan terus maju,” katanya.
Reichelt ketika ini sudahpun menempa namanya sebagai pemain kesayangan penyokong Melaka apabila berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak Liga Super 2019 dengan lapan gol bersama Diogo Santo dan Gonzalo Cabrera (JDT) serta Kpah Sherman (PKNS FC).
“Ada sebab untuk saya menolak tawaran beberapa kelab Thailand dan menyertai Melaka di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan musim ini.
“Selepas tamat Piala AFF tahun lalu, ada beberapa pasukan berminat untuk mendapatkan khidmat saya tapi saya dimaklumkan oleh ejen bahawa Melaka juga mahu menawarkan kontrak. Zainal sendiri berhubung dengan saya dan apabila ketua jurulatih sendiri yang bercakap dengan saya, itu membuatkan saya yakin untuk memilih Melaka.
“Saya gembira dengan prestasi setakat ini apabila sudah menjaringkan lapan gol. Sebenarnya saya bukanlah pakar dalam menjaringkan gol kerana saya jenis pemain yang lebih kepada mencipta peluang untuk rakan sepasukan. Jika melihat kepada gol yang saya hasilkan adalah atas faktor tuah dan juga bantuan rakan sepasukan.
“Apa pun pencapaian sebagai penjaring gol terbanyak ketika ini mencetuskan rasa semangat untuk membantu Melaka mengharungi baki saingan musim ini,” katanya.
Artikel Asal : Fox Sports Malaysia
Foto : Melaka United Football Association