Kapten Harimau Malaya, Farizal Marlias mengingatkan rakan sepasukan agar kekal berdisiplin dalam soal pemakanan apabila diberi cuti sehari bagi meraikan Aidilfitri, esok oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.
Penjaga gol utama itu turut berharap mereka datang dan kembali ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan dengan keadaan yang sihat dan cergas menjelang misi penting, pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022-Piala Asia 2023 menentang Timor Leste, Jumaat ini.
“Berpada-padalah beraya kali ini. Pergi dan kembalilah dengan keadaan badan yang sihat dan cergas untuk perlawanan penting pasukan kita.
“Kekalkan disiplin dalam soal pemakanan. Demi negara, ayuh kita berkorban dan tinggalkan keluarga seketika,” katanya selepas aksi persahabatan menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.
Sekiranya mengatasi Timor Leste secara agregat termasuk perlawanan kedua 11 Jun ini juga di Bukit Jalil, Malaysia bakal berentap dengan empat pasukan dalam pusingan kedua yang berformat liga berkumpulan timbal balik.
Kelmarin Malaysia mendapat suntikan motivasi terbaikapabila menumpaskan Nepal 2-0 hasil sepakan penalti Safawi Rasid dan tandukan Shahrul Saad daripada sepakan bebas.
Farizal, 33, diamanahkan Cheng Hoe untuk menyarung lilitan kapten ekoran ketiadaan Zaquan Adha Abd. Radzak yang digugurkan bagi kelayakan ini dan akan dibantu oleh bek tengah, Shahrul memandangkan posisinya yang jauh untuk mengarahkan rakan sepasukan di tengah padang.
“Saya amat gembira kami dapat tewaskan Nepal. Berdepan Timor Leste, saya harap rakan-rakan lebih kreatif apabila mendapat peluang gol,” katanya yang sudah mengumpul hampir 40 penampilan antarabangsa bersama skuad negara sejak 2009.
Skuad negara menguasai perlawanan di Stadium Nasional yang didakwa Cheng Hoe sebagai kurang memuaskan sehingga menjejaskan umpanan dan pergerakan pemain negara dalam menuju ke hadapan kotak penalti lawan.
Masalah padang itu turut disuarakan jurulatih Nepal, Johan Kalin, warga Sweden yang menganggap anak-anak buahnya sukar mengawal bola dengan baik dan melancarkan lebih asakan terhadap tuan rumah.
Sumber : Utusan Malaysia