Pertahanan kiri Harimau Malaya, La’Vere Corbin Ong mengakui keserasiannya bersama rakan sepasukan semakin baik selepas membantu Malaysia menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.
Corbin Ong berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk mengenali pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memandangkan ada dalam kalangan mereka turut beraksi bersamanya di Johor Darul Ta’zim (JDT).
[Baca juga : Kelab J-League Dan K-League Tertarik Dengan Safawi]
“Sesi latihan kali ini lebih pendek tetapi ada beberapa pemain JDT dalam panggilan kali ini dan saya sudah mengetahui cara mereka bermain. Saya juga sudah mengenali pemain lain dengan mengetahui apa yang mereka mahu lakukan di atas padang. Persefahaman lebih baik apabila kami banyak berlatih bersama,” katanya kepada pemberita.
Dalam pertemuan menentang Nepal, pemain berusia 28 tahun itu dikeluarkan pada minit ke-61 dan digantikan dengan Syazwan Andik dan bercakap mengenai perlawanan tersebut, Corbin Ong berkata, pasukan mempamerkan aksi positif.
“Pasukan bermain dengan baik apabila mencipta banyak peluang, cuma kami tidak dapat menterjemahkannya ke dalam bentuk gol. Jurulatih ada memberitahu supaya mengekalkan penguasaan bola dan kerjasama dalam pasukan. Keadaan padang pula agak lembut membuatkan kami sukar mengekalkan bola serta mencari ruang,” ujarnya.
Sumber : Utusan Malaysia
[Video progress pembinaan Stadium Sultan Ibrahim]