Pemain sensasi Harimau Malaya, Muhammad Akhyar Abdul Rashid bersedia menjadi penggempur utama pasukan dalam membantu skuad kebangsaan memperkemaskan bahagian penyudah menjelang aksi persahabatan serta kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe dijadual berdepan aksi persahabatan menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 2 Jun depan.
Seterusnya, skuad Harimau Malaya kemudian akan mengharungi aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 menentang Timor-Leste di venue sama pada 7 Jun dan 11 Jun.
Akhyar yang beraksi di bahagian tengah dan sayap mengakui tidak menjadi masalah buat dirinya jika berlaku sedikit perubahan posisi untuk menggalas misi penting bersama skuad kebangsaan.
“Jika diberikan peluang, mana-mana posisi pun saya akan bermain di bahagian serangan untuk membantu menajamkan lagi sentuhan penyudah Harimau Malaya.
“Saya merasakan ia tidak menjadi masalah besar untuk saya beraksi di posisi berkenaan jika pasukan kekurangan pemain penyerang dan kami boleh berlatih untuk mencari lebih keserasian sebelum berdepan aksi sebenar,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pusat pertama di UM Arena, Universiti Malaya, Kuala Lumpur kelmarin.
Sekiranya berjaya mengatasi Timor-Leste, skuad Harimau Malaya akan layak ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan 40 pasukan terbaik Asia yang dibahagikan kepada lapan kumpulan (lima pasukan setiap kumpulan) dan akan berlangsung selama sembilan bulan untuk 10 hari perlawanan dari 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020.
Sumber : Kosmo Online