Farizal Marlias, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah boleh menarik nafas lega dengan kedudukan beliau dalam kesebelasan utama Harimau Malaya. Keputusan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melantik beliau sebagai kapten skuad Harimau Malaya sudah pasti menjadi idaman setiap pemain.

Namun bukan sebarang pemain yang boleh menggalas tugas tersebut. Dengan pengalaman dan usia beliau di kalangan pemain skuad Tan Cheng Hoe itu, kita rasakan keputusan memilih Farizal adalah satu keputusan yang tepat. Beliau sudah tentu merupakan seorang pemain yang disegani oleh pemain lain, apa tah lagi Farizal datangnya dari skuad elit Harimau Selatan.

Sekiranya beliau dapat mengekal dan meningkatkan prestasinya, sudah tentu sememangnya penjaga gol Harimau Malaya akan menjadi milik Farizal.

Pengalaman beliau bersama dengan skuad JDT yang telah menjuarai Liga Super lima tahun berturut-turut memperlihatkan kekebalan gawang yang dijaga oleh beliau sepanjang musim. Tidak cukup dengan Liga Malaysia, Farizal juga saban tahun membantu JDT mengecap kejuaraan demi kejuaraan.

Namun kedudukan beliau sebagai kapten masih dalam ujian buat barisan kejurulatihan Harimau Malaya dan perlawanan persahabatan menentang Nepal Ahad ini menjadi ujian sebenar bagi Farizal dalam menghadapi perlawanan play-off kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste nanti.

[ Baca juga : Tahniah Kapten Farizal ]

Bermain selama 1,530 minit bersama JDT musim ini setakat ini sudah cukup buat Farizal menjadikan beliau benar-benar cergas. Jumlah minit bermain itu bersamaan dengan bermain 17 perlawanan penuh masa.

Di usia 33 tahun, Farizal mampu menyerap asakan dari pasukan lawan dari kelab-kelab gergasi seperti Kashima Antlers, Shandong Luneng dan Gyeongnam FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2019 (ACL) baru-baru ini.

Disamping Farizal Marlias, pemain JDT yang lain turut berpengalaman bersaing dalam ACL yang lepas seperti Adam Nor Azlin (245 minit), Corbin-Ong (540 minit), Syamer Kutty Abba (92 minit), Safawi Rasid (370 minit), Akhyar Rashid (173 minit) dan juga Syafiq Ahmad (297 minit). Dalam kurungan adalah minit main sepanjang saingan peringkat kumpulan ACL 2019.

Dengan berbekalkan pengalaman bermain di peringkat kelab tertinggi Asia yang dibarisi beberapa pemain ternama dunia seperti Marouane Fellaini dan Graziano Pellè sudah tentu barisan pemain JDT tersebut boleh dijadikan pilihan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya nanti.

Bukan setakat bermain, malah Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad turut menyumbang setiap seorang satu gol untuk JDT dalam ACL 2019.

Foto : The Photoshooterz