Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan, beliau telah menggunakan RM12 juta wang sendiri pada tahun pertama sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Malah, beliau juga mengeluarkan RM1.4 juta bagi menyelesaikan isu saman melibatkan MP Silva terhadap FAM.

“Kalau nak bercakap me­ngenai sumbangan saya kepada bola sepak semasa menjadi Presiden FAM, saya telah selesaikan semua hutang FAM dan tidak tinggalkan mereka tanpa berbuat apa-apa.

“Saya tinggalkan FAM kerana ada peranan dan misi lebih besar untuk organisasi besar iaitu MFL (Liga Bola Sepak Malaysia).

“Apa yang te­lah saya buat untuk FAM, kalau kita tengok da­ripada segi struktur…saya bawa (Pengarah Teknikal FAM) Peter De Roo, struktur jurulatih dan pasukan kebangsaan, termasuk hutang-hutang FAM.

“Saya telah berbelanja RM12 juta iaitu duit saya sendiri pada tahun pertama di FAM yang mana ketika itu FAM tiada duit.

“Dalam masa sama, saya juga selesaikan satu kes yang mana FAM akan disaman 1.4 juta euro (RM6.5 juta) oleh MP Silva dan akhirnya ia dapat dikurangkan kepada 300,000 euro (RM1.4 juta).

“Saya juga menggunakan duit saya sendiri dahulu untuk selesaikannya kerana FAM tiada bajet.

“Sejurus selepas itu, saya tinggalkan FAM dalam keadaan baik dan serahkan kepada (Datuk) Hamidin (Mohd. Amin), sebelum mengambil alih MFL kerana itu adalah permintaan daripada semua penaja dan rakan liga untuk melihat saya berada di situ.

“Penaja lebih yakin terhadap MFL kalau saya berada di sini,” kata Tunku Ismail dalam sidang akhbar khas di Johor Bharu semalam.

Sumber : Utusan Online