Menerusi kenyataan di laman rasmi facebook JOHOR Southern Tigers sebentar tadi, pengurus pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa menegaskan mentaliti kemenangan merupakan kunci kejayaan pasukannya selepas JDT berjaya menundukkan pasukan PKNS FC Jumaat lepas.
MENTALITI kemenangan adalah kunci kejayaan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terus berjaya menjarakkan diri selaku pendahulu Liga Super musim ini.
Kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC di Stadium Shah Alam kelmarin bukan sahaja menghadiahkan tiga mata, malah ia turut meletakkan mereka di landasan tepat mempertahankan kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut sejak 2014.
“Kami perlu mengucapkan tahniah kepada para pemain. Mereka melakukan tugas yang hebat. Kami sekali lagi beroleh kemenangan di tempat lawan.
“Adalah sangat penting untuk kami mengekalkan mentaliti kemenangan ini. Kami mendapat tiga mata dan kami berada di landasan yang betul,” katanya mengulas mengenai kemenangan ke-11 liga daripada 13 aksi setakat ini.
Gol-gol JDT dijaringkan oleh Safawi Rasid dan Diogo Santo pada minit ke-17 dan 60. Manakala gol saguhati PKNS FC pula oleh Romeo Morales.
Figueroa, 37, turut memuji persembahan penyerang kebangsaan, Safawi Rasid yang menggelecek beberapa pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan rembatan ke gawang lawan untuk membuka jaringan JDT pada minit ke-16.
“Aksi di bulan puasa adalah lebih sukar kerana mereka perlu berbuka puasa pada jam 7 malam dan kemudian kami perlu bermain pada jam 10 malam.
“Ia sukar tetapi kami harus menghormati tuntutan agama dan kami juga melakukan sesi latihan sama seperti waktu perlawanan.
“Harapan saya terhadap para pemain sepanjang bulan puasa ini adalah kami harus berusaha untuk memberikan yang terbaik. Kami perlu berusaha dan cuba teruskan perjalanan kami,” katanya.