Ketua jurulatih skuad bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee lega apabila tujuh tonggak termasuk lima pemain Johor Darul Ta&’zim (JDT) melaporkan diri dalam kem latihan pusat sekali gus melengkapkan senarai skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan di Padang Latihan Sime Darby, Shah Alam semalam.
Ketujuh-tujuh pemain JDT yang terlibat ialah Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Dominic Tan dan Haziq Nadzli manakala dua lagi masing-masing pemain pertahanan Selangor, Syahmi Safari serta penyerang Fagiano Okayama, Muhd. Hadi Fayyadh Abd. Razak.
Kim Swee berkata, kehadiran barisan pemain tersebut dapat memantapkan persiapan skuad B-22 negara untuk bersaing pada kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 yang bermula 22 Mac depan.
“Hari ini (semalam) semua pemain sudah melaporkan diri. Saya lihat ini sebagai petanda cukup positif dan merupakan kali pertama kita dapat mengumpulkan semua pemain terbaik negara untuk mengharungi aksi kelayakan itu.
“Justeru, saya harap barisan pemain dapat bersiap sedia dan memberi fokus lebih baik pada sesi latihan sebelum bermulanya kempen menentang Filipina pada 22 Mac nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di sini semalam.
Kim Swee turut menganggap aksi persahabatan menentang Australia di Stadium Shah Alam pada Ahad ini sebagai aksi pemanas badan terbaik bagi menilai kekuatan pasukan terutama apabila berdepan China dalam aksi terakhir Kumpulan J nanti.
“Australia memiliki persamaan dari segi kualiti dengan China dan ini terbukti apabila mereka (Australia) layak secara automatik pada Sukan Olimpik. Jadi, saya anggap perlawanan itu nanti sebagai medan ujian bagi menguji kombinasi terbaik pemain,” katanya.
Malaysia yang layak hingga ke suku akhir pada edisi 2018 di China sebelum tewas kepada Korea Selatan berada dalam Kumpulan J bersama Filipina, Laos dan China dengan juara setiap kumpulan akan mara secara automatik ke pusingan akhir di Thailand tahun depan.
Bagaimanapun, jika skuad B-22 negara gagal menerajui tangga teratas Kumpulan J, mereka masih boleh mara tetapi dengan syarat perlu berada dalam kelompok empat naib juara terbaik antara 11 kumpulan kelayakan kali ini.
Foto Kredit : FAM
Sumber Berita : Kosmo