“Perjalanan masih jauh lagi. Kita fokus perlawanan demi perlawanan dahulu. Kita tidak mahu gelojoh sangat,” kata Dollah Salleh seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

Begitulah ungkapan ketua jurulatih Pahang FA selepas kemenangan pertama Liga Super 2019 menewaskan pasukan Kuala Lumpur di Stadium KLFA pada 01 Februari lepas.

Dollah Salleh menganggap pasukan kendaliannya, Pahang masih belum mampu untuk mencabar kejuaraan milik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT). JDT telah mendominasi pentas Liga Super selama lima musim berturut-turut sejak 2014 sehingga musim lepas 2018.

Dalam aksi sulong tersebut, skuad kendalian Dollah berjaya membawa pulang mata penuh setelah membenam KL 3-1. Dua gol Pahang telah dijaringkan oleh Dickson Nwakaeme pada minit ke 52 dan masa tambahan.

Dollah Salleh amat berpuas hati dengan persembahan para pemain terutamanya penyerang kelahiran Nigeria, Dickson Nwakaeme yang menjaringkan dua gol dan bintang muda Indonesia, Saddil Ramdani yang menjaringkan satu gol.

Disamping itu, Dollah turut memberikan kredit kepada barisan pertahanan Tok Gajah yang diketuai oleh pemain import dari Perancis, Herold Goulon yang bergandingan cemerlang bersama Muslim Ahmad dalam merantai pergerakan Guilherme De Paula dan Sylvano Comvalius.

“Sudah tentu kita mahukan kemenangan pada aksi pertama kerana ia dapat menyuntik moral pemain supaya dapat terus memberikan aksi terbaik pada perlawanan seterusnya.

“Berbanding aksi pra-musim, aksi malam ini jauh lebih baik meskipun kita seharusnya boleh mendapatkan lebih banyak gol.

“Namun kita akui kita berada dalam keadaan tertekan. Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan yang memainkan peranan yang besar apabila berjaya menyekat serangan balas pantas Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas daripada aksi sulung Liga Super 2019 melibatkan Kuala Lumpur dan Pahang yang berkesudahan dengan jaringan 1-3 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada jumaat lepas.

Apa yang menjadi keutamaan buat pengendali berusia 55 tahun ini adalah memberikan perhatian kepada setiap perlawanan yang dihadapi termasuk perlawanan ke-2 menentang naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC yang dijadualkan pada sabtu ini di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Selepas tamat semua perlawanan minggu pertama Liga Super 2019, Pahang kini menduduki tangga teratas dengan perbezaan jaringan 2 gol. Empat pasukan berkongsi 3 mata dan berada di empat kedudukan teratas dan hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan sahaja. JDT menduduki tangga ke-4 selepas mengutip mata bertemu Perak dengan beza 1 gol.

Pada minggu kedua nanti JDT akan bertemu Kuala Lumpur pula di Stadium Larkin pada hari Jumaat, 08 Februari 2019. Manakala esoknya Pahang pula akan bertemu Terengganu di Stadium Darul Makmur.

Selain dari itu, 2 pasukan lagi yang telah merekodkan kemenangan bersih iaitu Kedah akan bertemu Perak di Stadium Ipoh dan Melaka United bertemu PKNS FC.

Selepas minggu pertama, 4 pasukan merekodkan kemenangan, 4 pasukan seri dan 4 pasukan mengalami ketewasan dalam aksi sulong pasukan masing-masing.