Kemenangan pertama dalam perlawanan pertama dan ‘away’ pertama JDT II menghasilkan satu kemenangan manis . JDT II Berjaya menewaskan Sabah dengan jaringan 2-1 di Stadium Likas malam tadi.
Rozaimi Abd Rahman muncul wira Johor Darul Ta’zim II (JDTII) apabila menjaringkan gol kemenangan buat JDT II ketika menewaskan Sabah 2-1 dalam aksi Liga Perdana.
Walaupun Rozaimi adalah bekas penyerang Sabah, namun beliau tidak teragak-agak meledak gol kemenangan itu menerusi sepakan percuma pada minit ke-83, sekali gus menggagalkan hasrat Sabah untuk mencatat kemenangan pertama mereka di gelanggang sendiri musim ini.
Terlebih dahulu, pemain import baharu Sabah, Luka Milunovic telah menceriakan penyokong tuan rumah apabila membuka jaringan pada minit ke-13.
Gol berkenaan berpunca daripada kesilapan penjaga gol JDT II, Muhammad Haziq Nadzli yang terlepas bola sebelum diasak oleh pemain tengah dari Serbia, Rodoljub Paunovic, dan bola sampai ke kaki Milunovic yang dengan mudah membuat jaringan.
Pada minit ke-20, Rodoljub Paunovic memiliki peluang untuk menambah jaringan namun tandukannya sedikit tersasar walaupun Haziq Nadzli sudah tertewas.
Pasukan JDT II kemudian memiliki peluang terbaik pada minit ke-28, namun sepakan percuma pemain import baharu mereka, Lucas Elias On Tiverton tersasar dan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Dalam separuh masa kedua, JDT II hampir menyamakan kedudukan menerusi gerakan menarik Lucas yang berjaya menggelecek penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, namun berjaya dikeluarkan pula Dendy Lowa.
Pada minit ke-58, Sabah pula hampir menambah jaringan menerusi sepakan percuma Sabri Sahar, namun percubaan dari jarak 25 meter itu sekadar menggegar tiang dan cubaan susulan Paunovic berjaya dihalang pertahanan lawan.
Mohammed Ghaddar, penyerang import JDT II, akhirnya berjaya menyamakan pada minit ke-62 apabila menanduk masuk sepakan percuma S Kumaahran disusuli gol kemenangan Rozaimi.
JDT II Berjaya membawa pulang 3 mata hasil kemenangan tersebut. Berikut adalah carta kedudukan Liga Premier minggu pertama.

Kredit Foto : Sabah FA dan Malaysia Football League