Tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah berjaya memenangi perlawanan merebut Piala Sumbangsih 2019 menewaskan Perak 1-0. Piala tersebut dimenangi buat kali ke-4 (2015,2016, 2018, 2019) sejak 2013.
Berikut adalah rating pemain JDT yang dipetik dari Fox Sports Asia.
Farizal Marlias (GK) – 7/10
Perlawanan pembukaan yang agak mudah buat penjaga gol berpengalaman ini. Farizal idak berhadapan dengan sebarang gerakan-gerakan yang berbahaya dari Perak serta beberapa cubaan dari Perak dapat dipintas oleh pertahanan JDT.
Mauricio Nascimento – 8/10
Dengan kelebihan fizikal yang dimiliki, beliau dengan baik dapat menghalang gerakan pemain-pemain Perak. sekaligus sedikit sukar untuk menilai persembahan bekas pemain Lazio ini kerana tidak terlalu banyak diuji dengan larian-larian pantas. Secara keseluruhannya, Mauricio beraksi dengan baik.

Adam Nor Azlin – 8/10
Bermain dengan baik malam ini. Adam beberapa kali membantu gerakan serangan JDT dan berjaya mematahkan gerakan-gerakan awal pemain lawan . Turut melakukan terjahan kritikal di babak kedua permainan untuk menghalang Wander Luiz. Adam berganding baik dengan Mauricio.
Azrif Nasrulhaq – 8/10
Berjaya menunjukkan kematangan dalam permainan beliau berbanding musim-musim lepas. Kerap kali naik ke bahagian atas untuk turut serta dalam melakukan gerakan serangan. Beliau juga berjaya melakukan sepakan ke arah gol.
Corbin Ong – 9/10
Bukan setakat kebal dalam bertahan, Corbin turut terlibat secara langsung dalam memulakan serangan dari bahagian bawah. Berjaya membentuk persefahaman yang baik dengan pemain-pemain di bahagian serangan.
Hariss Harun – 8/10
Hariss mengawal rentak perlawanan dengan baik samada bersama Natxo Insa ataupun Afiq Fazail. Berjaya menghalang barisan serangan pasukan Perak dari memasuki kawasan bahaya.
Natxo Insa – 8/10
Berjaya merantai pergerakan Wander Luiz dan juga Brendan Gan daripada melakukan hantaran pendek di kawasan tengah permainan sebelum dikeluarkan akibat kecederaan. Mempamerkan kelas yang berbeza daripada pemain-pemain lain di atas padang.
Afiq Fazail – 8/10
Berjaya mengisi ruang yang ditinggalkan Natxo dengan agak baik dan berjaya memberntu persefahaman yang baik dengan Hariss Harun di kawasan tengah permainan. Afiq berjaya mematahkan gerakan pemain-pemain Perak daripada bertukar hantaran-hantaran pendek.
Gonzalo Cabrerra – 9/10
Menunjukkan sikap kerjasama yang tinggi dan berjaya bermain dengan baik bersama Aaron Niguez dan Safawi Rasid di bahagian serangan. Bijak melakukan larian-larian pantas yang mengelirukan pemain-pemain pertahanan Perak. Sentiasa mengkucar-kacirkan pertahanan Perak.

Aaron Niguez – 8/10
Persembahan yang baik dipamerkan dalam perlawanan pertama di Liga Malaysia. Beberapa gerakan menarik bersama Safawi dalam mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Perak. Keupayaannya untuk memahami corak permainan JDT dalam masa yang singkat harus dipuji.
Syafiq Ahmad – 7/10
Sedikit tenggelam pada perlawanan malam ini. Tiada gerakan-gerakan menarik yang dilakukan pemain ini berbanding rakan-rakan lain di bahagian serangan. Secara keseluruhannya, Syafiq dilihat masih ketinggalan dari sudut teknikal dan pergerakan jika dibandingkan dengan Safawi.

Safawi Rasid – 9/10
Menunjukkan permainan yang cemerlang. Berjaya melepaskan dua tendangan tepat ke arah Hafizul Hakim dan kerap kali cuba untuk membuka peluang kepada rakan-rakan. Safawi menunjukkan satu persefahaman yang baik bersama Aaron Niguez dan Gonzalo Cabrerra.