Perpindahan beberapa pemain seperti Akhyar Rashid dan Syazwan Andik ke satu pasukan yang sama dapat memperkuatkan JDT mengharungi Liga Malaysia 2019 dan juga Liga Juara-Juara AFC. Ia satu langkah yang tidak merugikan malah sebaliknya langkah seperti itu adalah baik untuk pasukan kebangsaan.

 

Begitulah pendapat  bekas pengendali Harimau Malaya, B Sathianathan. Beliau menyangkal jika ada tanggapan negatif itu.

 

Menurut B. Sathianathan lagi, kejayaan JDT menghimpunkan hampir kesemua pemain skuad kebangsaan  seharusnya diambil secara positif oleh semua pihak. Kaedah yang sama pernah digunakan oleh pasukan Selangor suatu masa dahulu ketika era kegemilangannya pada 70-an dan 80-an.  

 

“Pemain-pemain ini sudah biasa bermain bersama, jadi bila ada tugasan antarabangsa skuad negara akan tampil kuat.” kata B. Sathianathan.

 

“Jadi saya tidak melihat apa dilakukan JDT itu satu kesilapan kerana strategi ini pernah dibuktikan Selangor dan ia amat berjaya. Cuma isunya sekarang, pemain JDT khususnya pemain tempatan jangan tenggelam dengan pemain import yang akhirnya merugikan mereka apabila sekadar memanaskan bangku simpanan.

 

Bekas jurulatih Harimau Malaya itu turut berkata pemain tempatan kena lawan dan merebut tempat dalam kesebelasan utama.

 

Tiada masalah buat JDT untuk muncul antara pencabar terkuat dalam liga (Liga Malaysia) jika sikap pemain itu betul.

 

Namun ramai pihak bimbang prestasi bintang muda itu akan merosot apabila menjangkakan pemain tersebut bakal memanaskan bangku simpanan skuad itu.

 

“Dulu masa tahun 80-an, hampir 80 peratus kekuatan Harimau Malaya adalah dari Selangor. Malah, saya yang waktu itu bermain untuk Negeri Sembilan apabila dipanggil berlatih dengan pasukan negara tidak mengambil masa agak lama untuk mencari keserasian.

 

B. Sathianathan beranggapan JDT banyak membantu persiapan pasukan Harimau Malaya dan Cheng Hoe pastinya gembira dengan perkembangan itu.

 

Selain kehadiran dua bintang muda itu, JDT turut diperkuatkan beberapa tonggak utama negara seperti Syamer Kutty Abba, Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abd Radzak, Adam Nor Azlin, Ahmad Hazwan Bakri, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad.

 

Bekas pengendali Melaka United, E Elavarasan turut sependapat dan menganggap strategi JDT itu sebenarnya menguntungkan skuad Harimau Malaya.

 

“Bagi saya kita ambil yang positif. Apabila JDT buat macam ini, ia secara tidak langsung membantu Cheng Hoe dalam mempersiapkan pasukan negara.” ujar E. Elavarasan ketika dihubungi Berita Harian.

 

Elavarasan menambah, jurulatih kebangsaan tidak perlu menghabiskan banyak masa untuk mencari keserasian pemain sebaliknya boleh terus sediakan pemain dengan taktikal dan strategi permainan.